Followers

Sunday, 18 October 2015

Asal Usul Wanita Melayu Bertudung



Baru-baru ini saya terbaca satu artikel di The Malay Online bertajuk ‘Asal usul Melayu Obses dengan Tudung’ yang ditulis oleh Alicia Izharuddin. Setelah meneliti beberapa perkara dalam artikel tersebut, saya mendapati ada beberapa fakta yang perlu kita balik kepada perkara-perkara asas dalam isu bertudung ini.

Konsep bertudung  yang diwarisi oleh masyarakat hari ini bukanlah produk yang dihasilkan oleh ulama tradisionalis yang menjadikan pengertian bertudung dalam rupa syariah yang sempit dan jumud. Secara asasnya,bertudung merupakan satu wasilah (baca: jalan, cara) untuk wanita yang menganut agama Islam untuk menutup aurat. Dan pensyariatan menutup aurat ini sudah digazetkan lebih dari 1000 tahun yang lalu setelah turunnya surah An-Nur ayat 30-31. Kisah Rasulullah  menegur Asmaa’  binti Abu Bakr yang tidak menutup aurat dengan sempurna sewaktu bertemu Rasulullah kemas terakam dalam lipatan sejarah Islam. Hal ini jelas menunjukkan bahawa bertudung  bukanlah satu budaya ikutan yang berevolusi kerana pengaruh atau cetusan idea, tapi lebih kepada pensyariatan yang telah disyariatkan oleh Allah untuk menutup aurat dengan sempurna kepada semua hambanya khususnya yang beragama Islam.

(Agama lain juga menganjurkan untuk wanita menutup kepala seperti tertulis di dalam kitab Bible, Veda dll. Malah ajaran yahudi juga menganjurkan wanita mereka menutup kepala. Apatah lagi Islam yang merupakan agama fitrah, sudah tentu memahami keperluan itu, lalu disyariatkan kepada penganutnya. )

Islam mula berkembang ke Nusantara sekitar abad ke-7 M. Kemudian dakwah Islamiah ini mula menular ke Malaysia dengan kemasukan pedakwah-pendakwah dan pedagang-pedagang  dari India, China dan Arab. Namun, sekitar era ini masyarakat yang memeluk agama Islam belum mengamalkan Islam sepenuhnya dalam kehidupan seharian. Malah masih ada budaya-budaya dan kepercayaan sebelum mereka memeluk agama Islam masih diamalkan. Maka, tidak pelik jika melihat ustazah-ustazah yang mengajar Al Quran pada era 60-an sehingga 70-an masih nampak jambul di depan. Mungkin kerana terbatasnya pengetahuan mengenai Islam dan ilmu sukar diakses oleh masyarakat pada zaman itu.

 Sekitar era 70-an muncul satu gelombangan gerakan Islam yang dibawa oleh graduan-graduan timur tengah (Mesir, Jordan, Mekah, Madinah dll) yang berusaha untuk mengembalikan kefahaman Islam yang sebenar berpandukan  Al Quran dan Sunnah serta menentang pencemaran agama Islam oleh pengaruh adat resam dan taqlid buta. Sewaktu inilah, dakwah islamiah mula mekar di tanah melayu dan kesedaran wanita islam untuk menutup aurat dengan memakai tudung mula meningkat.

Zaman berganti zaman, teknologi berkembang dengan sangat pesat. Segalanya boleh diakses hanya dihujung jari. Dunia tanpa sempadan ini juga memudahkan masyarakat untuk lebih faham dengan ajaran sebenar agama Islam. Sehingga lahirnya industri fesyen bertudung yang sudah pesat berkembang. Kesedaran wanita Islam untuk menghijabi aurat terus meningkat walaupun kadang-kadang fesyen bertudung yang digayakan tidak mencapai piawaian patuh syariah. Moga terus diberikan taufiq dan hidayah untuk menutup aurat dengan sempurna dan  mengamalkan Islam secara menyeluruh.

Pertikaian feminis yang menolak perbezaan sosial antara perempuan dan lelaki adalah satu hujah yang hanya berpandukan nafsu semata. Tidaklah suruhan Allah itu hanya sia-sia dan hanya menyusahkan hambaNya melainkan untuk menjaga maslahat dan meraikan fitrah makhlukNya.

Firman Allah dalam surah Al Azhab 33:35

Maksudnya: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” 

Ayat ini jelas menyatakan bahawa kedua-duanya (lelaki dan wanita )sama dari segi pembebanan hukum dan tanggungjawab. Cuma berbeza dari sudut pelaksanaa dan pembahagian kerana perbezaan kepelbagaian (fizikal, emosi, keperluan sosial,cara pemikiran, kecenderungan dll)  secara fitrah dalam diri lelaki dan wanita itu sendiri.
Wanita ini, fitrahnya suka pada kecantikan. Maka tidak hairanlah wanita berlumba-lumba untuk tampil lebih menarik. Tapi mengapa perlu disorokkan kecantikan mahkota wanita (rambut)?  Mengapa tidak ditunjukkan kepada khalayak sebagai kebangaan? Kerana secara fitrahnya, sesuatu yang cantik akan mendapat perhatian umum terutama kaum berlainan jantina (lelaki). Adakah adil jika wanita yang cantik sahaja yang mendapat layanan istimewa oleh masyarakat berbanding wanita yang kurang cantik? Maka, pensyariatan menutup aurat dapat mengurangkan perbezaan ketara ini.  

Maka itulah rasionalnya kewajipan bertudung diwajibkan. Bahkan bagi sesetengah ulama, menutup muka juga dituntut demi keperluan keadilan sosial sebegini.
Wanita yang beriman perlu redha terhadap pilihan Allah ke atasnya untuk menjadi wanita. Tidak menyebut-nyebut walau sedikit pun tentang kedudukannya di sisi Allah, iaitu untuk mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan hak Allah atasnya. Sesungguhnya perbezaan antara lelaki dan wanita adalah perbezaan kepelbagaian, bukan perbezaan kontra. Tamadun Barat yang membawa budaya kuning  mengangkat isu realiti lelaki dan wanita, kesamarataan dan mereka juga mahu agar perbezaan-perbezaan antara mereka dihilangkan sedangkan pada demikian itu terdapat kerosakan yang besar.

Bukanlah golongan wanita Islam yang tidak bertudung ini menjadi spesis terancam, cuma semakin ramai yang menyedari menutup aurat itu adalah satu suruhan bukan pilihan.Ancaman kepupusan golongan tidak bertudung bukan sesuatu yang perlu kita bimbangkan. Tapi bimbanglah kepada pada ancaman Allah terhadap kelalaian kita mentaati perintah Allah yang jelas termaktub dalam kitab suci Al Quran dan hadith Rasulullah.  Saya doakan saudari penulis dan semua yang masih mencari jawapan mengenai pensyariatan menutup aurat dan perbezaan sosial antara jantina agar dipermudahkan Allah untuk temui jalan yang membawa kepada jalan aqidah dan keimanan kepada ALLAH.


No comments: