Ramadhan kita kali ini dihangatkan dengan ledakan berita daripada Somalia, sebuah negara Islam yang selama ini memang kita maklum sebagai dho’if dan penuh kekurangan. Tetapi apakah yang menyebabkan berita Somalia terlalu hangat pada kali ini?
Telah sampai kepada kita berita bahawa berlakunya kemarau yang amat dasyat pada tahun ini di Somalia, sehingga angka kematian yang selama ini memang berlaku, meningkat dengan mendadak.
Dilaporkan, 30,000 anak-anak Somalia telah mati kebuluran dan angka ini dijangka akan meningkat lagi dalam masa tedekat.
Justeru kami di Langit Ilahi menyeru diri kami, serta pembaca dan pelawat untuk turut sama menghulurkan bantuan, semampu yang kita boleh, buat saudara-saudara seIslam kita di Somalia. Apatah lagi, Ramadhan masih berjalan, dan kita ketahui bahawa bersedekah di dalam Ramadhan nyata pahalanya berkali ganda daripada bersedekah di luar Ramadhan.
Saluran Bantuan Anda.
HALUAN Malaysia, sebuah NGO Kebajikan telah menyertai Kempen Talian Hayat untuk Somalia yang dipelopori NGO bernama IHH daripada Turki. Bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan daripada Turki itu, HALUAN Malaysia menjadi seakan-akan ‘wakil’ untuk rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada Somalia.
Bantuan boleh disalurkan terus ke Akaun Bank HALUAN.
Berikut adalah maklumatnya -
BIMB: 14-023-01-002571-8 (HALUAN)
Mukmin dengan Mukmin ini, satu jasad.
Rasulullah SAW bersabda:
“Orang beriman dengan orang beriman yang lain itu adalah seperti jasad yang satu. Sekiranya salah satu anggota mengalami kesakitan, maka seluruh jasad akan turut berjaga malam, merasa panas dan gusar.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka sepatutnya, sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kita patut merasai penderitaan sahabat-sahabat kita di Somalia, Palestin dan sebagainya. Kerana antara petanda keimanan kita, adalah kita merasakan mereka seperti sejasad dengan kita. Jadi, apakah jika kita sakit, kita biarkan sahaja dengan berkata: “Ah, yang sakit itu hanya kepala. Tangan, kaki, badan, masih tak sakit.” Apakah boleh?
Begitu juga kita dengan Somalia, Palestin dan sebagainya.
Maka apa kita tunggu lagi?
Dia turut turun membantu.
Presiden Turki, Recip Tayyip Erdogan, telah turun padang sendiri bersama Isterinya, ke Somalia bagi melihat sendiri keadaan di sana. Tidak cakap kosong, Presiden Turki nyata menunjukkan contoh yang baik kepada pemimpin Islam yang lain, apabila bergerak terus ke Somalia sebagai tanda keseriusan untuk menghulurkan bantuan.
Dia, dengan kemampuannya sebagai seorang presiden, menggunakan segala kuasa, tenaga yang dia ada dalam menghulurkan bantuan.
Kita mungkin tidaklah sehingga hendak menjejak ke Somalia. Tetapi kita juga ada kemampuan kita. Persoalannya, apakah kita telah salurkan kemampuan kita itu kepada saudara kita?
Penutup: Marilah membantu, walaupun sedikit.
Saya selaku wakil LangitIlahi mengajak diri saya dan anda, pembaca dan pelawat, untuk menyedari kepentingan bantuan kita kepada mereka. Sungguh mereka adalah saudara kita, dan mereka adalah sebahagian daripada kita.
Mari, selama ini kita sudah disumbatkan dengan pelbagai fikrah kesatuan Islam, mukmin dengan mukmin itu bersaudara dan sebagainya. Kita agung-agungkan ukhuwwahfillah dan kita suka dengan janji-janji Allah terhadap mereka yang mengasihi saudara mereka. Maka inilah harinya kita buktikan itu semua dalam bentuk amalan.
Sebagai penambah motivasi, Ramadhan masih berjalan. Nyatanya, sekiranya kita bersedekah di dalam Ramadhan, pahalanya berganda-genda berbanding bulan yang biasa. Ayuh!
Semoga ini menjadi saham akhirat kita!
copy from:
http://langitilahi.com/
No comments:
Post a Comment