Followers

Sunday, 18 October 2015

Asal Usul Wanita Melayu Bertudung



Baru-baru ini saya terbaca satu artikel di The Malay Online bertajuk ‘Asal usul Melayu Obses dengan Tudung’ yang ditulis oleh Alicia Izharuddin. Setelah meneliti beberapa perkara dalam artikel tersebut, saya mendapati ada beberapa fakta yang perlu kita balik kepada perkara-perkara asas dalam isu bertudung ini.

Konsep bertudung  yang diwarisi oleh masyarakat hari ini bukanlah produk yang dihasilkan oleh ulama tradisionalis yang menjadikan pengertian bertudung dalam rupa syariah yang sempit dan jumud. Secara asasnya,bertudung merupakan satu wasilah (baca: jalan, cara) untuk wanita yang menganut agama Islam untuk menutup aurat. Dan pensyariatan menutup aurat ini sudah digazetkan lebih dari 1000 tahun yang lalu setelah turunnya surah An-Nur ayat 30-31. Kisah Rasulullah  menegur Asmaa’  binti Abu Bakr yang tidak menutup aurat dengan sempurna sewaktu bertemu Rasulullah kemas terakam dalam lipatan sejarah Islam. Hal ini jelas menunjukkan bahawa bertudung  bukanlah satu budaya ikutan yang berevolusi kerana pengaruh atau cetusan idea, tapi lebih kepada pensyariatan yang telah disyariatkan oleh Allah untuk menutup aurat dengan sempurna kepada semua hambanya khususnya yang beragama Islam.

(Agama lain juga menganjurkan untuk wanita menutup kepala seperti tertulis di dalam kitab Bible, Veda dll. Malah ajaran yahudi juga menganjurkan wanita mereka menutup kepala. Apatah lagi Islam yang merupakan agama fitrah, sudah tentu memahami keperluan itu, lalu disyariatkan kepada penganutnya. )

Islam mula berkembang ke Nusantara sekitar abad ke-7 M. Kemudian dakwah Islamiah ini mula menular ke Malaysia dengan kemasukan pedakwah-pendakwah dan pedagang-pedagang  dari India, China dan Arab. Namun, sekitar era ini masyarakat yang memeluk agama Islam belum mengamalkan Islam sepenuhnya dalam kehidupan seharian. Malah masih ada budaya-budaya dan kepercayaan sebelum mereka memeluk agama Islam masih diamalkan. Maka, tidak pelik jika melihat ustazah-ustazah yang mengajar Al Quran pada era 60-an sehingga 70-an masih nampak jambul di depan. Mungkin kerana terbatasnya pengetahuan mengenai Islam dan ilmu sukar diakses oleh masyarakat pada zaman itu.

 Sekitar era 70-an muncul satu gelombangan gerakan Islam yang dibawa oleh graduan-graduan timur tengah (Mesir, Jordan, Mekah, Madinah dll) yang berusaha untuk mengembalikan kefahaman Islam yang sebenar berpandukan  Al Quran dan Sunnah serta menentang pencemaran agama Islam oleh pengaruh adat resam dan taqlid buta. Sewaktu inilah, dakwah islamiah mula mekar di tanah melayu dan kesedaran wanita islam untuk menutup aurat dengan memakai tudung mula meningkat.

Zaman berganti zaman, teknologi berkembang dengan sangat pesat. Segalanya boleh diakses hanya dihujung jari. Dunia tanpa sempadan ini juga memudahkan masyarakat untuk lebih faham dengan ajaran sebenar agama Islam. Sehingga lahirnya industri fesyen bertudung yang sudah pesat berkembang. Kesedaran wanita Islam untuk menghijabi aurat terus meningkat walaupun kadang-kadang fesyen bertudung yang digayakan tidak mencapai piawaian patuh syariah. Moga terus diberikan taufiq dan hidayah untuk menutup aurat dengan sempurna dan  mengamalkan Islam secara menyeluruh.

Pertikaian feminis yang menolak perbezaan sosial antara perempuan dan lelaki adalah satu hujah yang hanya berpandukan nafsu semata. Tidaklah suruhan Allah itu hanya sia-sia dan hanya menyusahkan hambaNya melainkan untuk menjaga maslahat dan meraikan fitrah makhlukNya.

Firman Allah dalam surah Al Azhab 33:35

Maksudnya: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” 

Ayat ini jelas menyatakan bahawa kedua-duanya (lelaki dan wanita )sama dari segi pembebanan hukum dan tanggungjawab. Cuma berbeza dari sudut pelaksanaa dan pembahagian kerana perbezaan kepelbagaian (fizikal, emosi, keperluan sosial,cara pemikiran, kecenderungan dll)  secara fitrah dalam diri lelaki dan wanita itu sendiri.
Wanita ini, fitrahnya suka pada kecantikan. Maka tidak hairanlah wanita berlumba-lumba untuk tampil lebih menarik. Tapi mengapa perlu disorokkan kecantikan mahkota wanita (rambut)?  Mengapa tidak ditunjukkan kepada khalayak sebagai kebangaan? Kerana secara fitrahnya, sesuatu yang cantik akan mendapat perhatian umum terutama kaum berlainan jantina (lelaki). Adakah adil jika wanita yang cantik sahaja yang mendapat layanan istimewa oleh masyarakat berbanding wanita yang kurang cantik? Maka, pensyariatan menutup aurat dapat mengurangkan perbezaan ketara ini.  

Maka itulah rasionalnya kewajipan bertudung diwajibkan. Bahkan bagi sesetengah ulama, menutup muka juga dituntut demi keperluan keadilan sosial sebegini.
Wanita yang beriman perlu redha terhadap pilihan Allah ke atasnya untuk menjadi wanita. Tidak menyebut-nyebut walau sedikit pun tentang kedudukannya di sisi Allah, iaitu untuk mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan hak Allah atasnya. Sesungguhnya perbezaan antara lelaki dan wanita adalah perbezaan kepelbagaian, bukan perbezaan kontra. Tamadun Barat yang membawa budaya kuning  mengangkat isu realiti lelaki dan wanita, kesamarataan dan mereka juga mahu agar perbezaan-perbezaan antara mereka dihilangkan sedangkan pada demikian itu terdapat kerosakan yang besar.

Bukanlah golongan wanita Islam yang tidak bertudung ini menjadi spesis terancam, cuma semakin ramai yang menyedari menutup aurat itu adalah satu suruhan bukan pilihan.Ancaman kepupusan golongan tidak bertudung bukan sesuatu yang perlu kita bimbangkan. Tapi bimbanglah kepada pada ancaman Allah terhadap kelalaian kita mentaati perintah Allah yang jelas termaktub dalam kitab suci Al Quran dan hadith Rasulullah.  Saya doakan saudari penulis dan semua yang masih mencari jawapan mengenai pensyariatan menutup aurat dan perbezaan sosial antara jantina agar dipermudahkan Allah untuk temui jalan yang membawa kepada jalan aqidah dan keimanan kepada ALLAH.


Friday, 26 December 2014

Umar

"syakir, aku tak pernah jumpa mak aku" matanya terarah pada sekumpulan manusia yang tengelam dengan kasih sayang ibu bapanya. Sayu.

Aku mahu begitu. Tapi..

Umar Rifaie Bin Hatta seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dahagakan kasih sayang ibunya. Kisah kanak-kanaknya tidak seindah kanak-kanak seusia yang lain. Lahir dalam 'broken family' bukan dia yang pinta. Takdir.

Air mata yang mengalir diseka perlahan. Aku perlu kuat!

"Syakir, aku nak belajar mengaji kat mak kau boleh?" Matanya bercahaya. Semangatnya membara. Aku mahu menjadi Umar kebangaan keluarga dan agama.

"Datanglah rumah. Tapi nanti kau tanyalah keluarga kau dahulu". 
Gembira Syakir apabila ada sahabat yang mahu mendalami ilmu agama. Tak ramai anak muda yang minat mahu mengaji lagi. Kalau tak dipaksa ibubapa, nescaya tiada lagi anak murid ibunya sekarang. Tapi, Umar lain..

Seminggu kemudian,

"Umar, jadi tak mengaji kat mak aku?" Syakir mengharapkan khabar gembira dari Umar. Tapi melihat pada riak Umar...

"Tak pa Umar. Bukan rezeki kau. Kita boleh belajar sama-sama disekolah." Bahu umar ditepuk perlahan. Cuma menenangkan resah Umar.

"Nenek aku tak bagi. Dia kata tiada siapa nak hantar aku ke rumah kau. Aku nak naik basikal, dia tak bagi. Bahaya katanya. Padahal, bukannya aku tak pernah naik basikal ke sana". Dia hanya menekur lantai. Sedih. Niatnya mahu perbaiki bacaan AlQuran dan dalami ilmu tajwid terbantut. 

Sejak ibu bapanya berpisah, Umar dan tiga orang adiknya hanya menumpang kasih pada ayah, datuk dan neneknya. Ibunya ntah ke mana. Sikap dingin neneknya kadang-kadang membuatkan kanak-kanak itu rindu pada ibunya. Umar mahu belaian kasih sayang seorang wanita penganti ibu. Bukan bengis dan amarah. 

Apa salah aku agaknya sehingga nenek begitu dingin dan marah pada aku? Aku dilayan seperti anak tiri. Segala kerja aku dikerah.
Nafas berat dilepaskan. Ibu..

*********************************

Kring... Kring.. 
Waktu persekolahan tamat.

"Jumpa petang ni lah ye. Kau datang kan tusyen petang ni?" Syakir mahu bergegas pulang. Dia tidak mahu ibunya lama menanti di kereta. Perbualan yang tergantung mahu disambung di tusyen nanti.

Umar hanya mengangguk lemah. Tersenyum kelat.

'Aku ada. tapi bukan sebagai pelajar tusyen lagi..' hanya terluah di dalam hati sahaja. Kelibat Syakir semakin mengecil di pandangannya. Telah jauh sahabatnya itu meninggalkannya.

Pakcik Umar merupakan seorang guru pencen. Dia merupakan bekas pengetua di SK Gemilang. Kini, datuknya membuka pusat tusyen untuk pelajar tahun 4 hingga 6 . Umar dan Syukri juga turut menimba ilmu di situ. Sebagai persediaan untuk UPSR pada tahun hadapan. 

Sudah jam 8.15 malam. Syakir baru tiba. Dia agak lewat harini. Terus dia mencari kelibat sahabatnya Umar. Kelihatan Umar berada dihujung sudut kelas. 
'eh, kenapa Umar tak masuk dalam kelas? Kenapa tak duduk di meja belajar seperti selalu?' Syukri merenung Umar dari jauh. Sehingga ditegur guru, barulah dia terkial-kial mahu mengeluarkan buku dari dalam beg.


"Kenapa tak duduk sekali dengan kami tadi?" Seusai kelas tamat, Syakir terus mendapatkan Umar yag sibuk menyusun kerusi dan meja kelas tusyen itu. Sesekali tangannya juga mencapai kerusi-kerusi untuk ditindih sambil sabar menanti jawapan Umar.

"Aku dah tak tusyen lagi dah. Nenek aku tak bagi. Dia kata aku selalu bergaduh dengan sepupu aku tu.." sayu benar nadanya. Tangannya masih lincah mengemas kerusi dan meja.

Pergerakkan Syakir bagai terkunci, 'dugaan apa lagi yang perlu kau hadapi Umar?' Syakir merenung Umar. Dalam.

Sememangnya Umar punya sepupu perempuan yang juga turut tusyen bersama mereka. sepupunya itu selalu mencari masalah dengan Umar. Ada sahaja yang mahu dikelahikan. Tapi, kali ini Umar mengalah. Ahh.. Mana mungkin aku menang dengan cucu kesayangan nenek..

*****************************************

Berdebar. Takut. Teruja.

Perasaannya bercampur baur. Tidak mahu kecewakan ayah.

Pengetua mula mengumumkan nama-nama pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR. Enam orang pelajar naik ke pentas. Syakir juga berada di atas pentas itu. Dia juga diumumkan sebagai pelajar cemerlang kerana aktif bersukan sehingga peringkat kebangsaan dan keputusan 5A yang diperolehi. Pandangannya jatuh pada slip keputusan di tangan.

2A 3B

Bukan rezeki aku. Umar cuba memujuk hati. 

Tiba-tiba, terasa ada yang menyentuh bahunya. Dia tahu siapa.

"Tahniah! aku dah agak dah kau akan dapat 5A" perlahan-lahan dia mengangkat muka. Cuba mengoyakkan senyuman. Hambar. Sedihnya tak dapat dibendung. Jelas kelihatan.

"Alhamdulillah. Rezeki aku. Tahniah pada kau juga! Janganlah sedih. Ada juga A jugak apa. Insyaallah satu hari nanti rezeki kau pula" Syakir cuba menenangkan hati sahabatnya. Dia tahu sahabatnya itu sedih. Dia tidak mahu sahabatnya itu berasa rendah diri. Baginya, ada saham yang Umar sumbang dalam keputusan cemerlangnya itu.

"Insyaallah. Kalau suatu hari tu ada untuk aku" Umar cuba ketawa. Tak mahu spoil kan mood kegembiraan sahabatnya.Hambar.

Umar tersenyum nipis. Kau memang sangat rendah diri Syakir. 

Ya. Umarlah insan yang ajarnya cara paling mudah dan ringkas untuk menyelesaikan masalah matematik. Pada mulanya, Syakir tak faham langsung bagaimana mahu menyelesaikan masalah matematik itu. Umar yang mengajarnya sehingga faham. Cuma, mungkin bukan rezeki Umar pada subjek yang lain. Tabahlah wahai Umar.

*********************************

Cuti sekolah yang dinanti akhirnya tiba. Ada yang bercuti bersama keluarga. Ada yang pulang ke kampung.Umar hanya duduk di rumah dan menjalani rutin harian seperti biasa. Syakir pergi bercuti bersama keluarganya. Ahh beruntungnya kau Syakir.. 

Umar juga seperti kanak-kanak yang lain. Mahu bermain dan seronok. Dia mula merancang bersama beberapa rakan yang lain untuk mendaki gunung  dan bermandi manda.  

*************************************

Sedang mengemas baju-baju untuk di 'pack', Samsung Tablet 3 bergetar. Tanda ada message daripada aplikasi Whatsapp.
Syakir mencapai tablet nya. 

Nazran
'Umar sakit. Sekarang ada di hospital '

Me
'Umar sakit apa?'

Nazran'Tak tau lagi.'
Me

'Innalillah.. aku tak tahu pun.'

Afiq
'Dia dah sakit lama dah. Tapi tak nak pergi hospital. Baru je masuk hospital ni.'



Tabletnya dipandang sepi. Sejak cuti, jarang sekali dia berjumpa Umar. Syakir terlalu sibuk dengan latihan hoki dan tournament sehingga kebajikan sahabatnya itu tidak sempat dipeduli. Umar.. maafkan aku.
Tabletnya kembali diletak disisi. Kerja-kerja mengemas baju untuk dibawa ke tournament di Perak yang tertangguh,diteruskan. Tapi mindanya terus merisaukan keadaan sahabatya itu.

Insyaallah balik dari Perak nanti aku ziarah kau ye Umar. 
Syakir tekad!

**********************************

"Rehat dulu oi!! Penat!" nafas yang laju mula diatur perlahan. 
Air dicapai lalu diteguk rakus. Terlalu lama berlatih di atas padang membuatkannya lelah. Esok perlawanan akhir. Sebagai striker dia perlu 'all out' untuk menyumbang gol kemenangan.

Sementara menunggu masuk padang, Samsung Tablet 3 dibawa keluar. 
Mobile data on.

Notification dari aplikasi WhatsApp beratur minta dibaca. Tapi, message dari group kelasnya menarik perhatian. Di scroll perlahan.


Aliya
'Aku dengar Umar masuk Hospital Besar. betul ke?'


Syukri M 
'Aah. Dia kena transfer ke Hospital Besar. Doktor dah sahkan dia memang dijangkiti kuman kencing tikus dan denggi berdarah'





Iqbal
'Teruk ke? Sampai ke Hospital Besar pulak.'

Nazran
'Teruk.'


 Me

'Kau g tengok Umar ke?'

  Nazran
 'Ingat nak g esok'
Me

'Kirim salam weyh. Balik dari tournament aku ziarah dia. insyaallah'




Fokusnya terganggu. Memikirkan sahabat yang sedang bertarung nyawa. Apa yang dia mahu, mahu pulang cepat da bertemu dengan sahabatnya itu. 


******************************************

Bacaan ayat suci Al Quran memenuhi ruang. Suasana sayu menyelubungi.
Syakir dan kawan-kawan yang lain membaca surah Yassin dengan syahdu. Hajatnya mahu tertemu Umar Allah makbulkan. Tapi hanya bertemu jasad. Roh Umar sudah dibawa pergi petang semalam.  

Dia hanya duduk di sisi Umar bersama adik Umar, Yusuf. Memerhatikan Umar. Memohon doa dalam hati. 
Mengapa budak sebaik Umar Allah ambil nyawanya terlebih dahulu?

"Nanti Umar tak sekolah menengah kat TBS tau. Dia sekolah kat syurga.." kata Yussuf. 

Tubir mata Syakir mulai bergenang. Perlahan-lahan cairan jernih membasahi pipi. Kehilangan sahabat sebaik Umar sangat dirasai. 

Dia tidak sempat bertemu sahabatnya itu sebelum meninggal dunia. Rupa-rupanya Umar sudah dua minggu demam semenjak balik dari bermandi manda di kolam Gunung. Tapi Umar tidak mahu ke hospital. 

Bibir Umar mulai pecah-pecah. Keadaannya mulai lemah dan teruk. 

"Umar, pergilah hospital. kalau tak nak pergi hospital kerajaan, pakcik hantar ke klinik swasta dulu. Kita buat pemeriksaan dulu. teruk sangat dah ni" pakcik Umar mencuba nasib.

Umar setuju untuk menjalani pemeriksaan di klinik swasta. Kemudian doktor mengatakanUmar perlu mendapatkan rawatan lanjutan di hospital kerana ujian darahnya menunjukan dia positif denggi berdarah dan kencing tikus.

Dalam perjalanan dari Perak ke Negeri sembilan, Syakir mendapat berita keadaan Umar semakin tenat. Kuman sudah merebak keseluruh organ. 


Nazran
'Doakan Umar. Umar dah tenat.'


Sekeping gambar dihantar. Kelihatan Umar terlantar lemah. Berselirat wayar pada badan Umar. Beratnya ujian kau Umar. 

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

________________________________

Dikejauhan Syakir melihat seorang wanita mendekati jenazah Umar. Diusap lembut wajah Umar. Syakir dan Yusuf yang masih setia di sisi jenazah, hanya memerhati. Yusuf juga tidak memberi reaksi. 

Ibu Umar. Ya itu ibu Umar. Akhirnya Umar bertemu juga dengan ibunya. Allah makbulkan hajat Umar walau dengan jasad kosong tanpa roh. Ibu kau datang, Umar. Syakir tersenyum kelat.

____________________

"Tahniah! aku dah agak dah kau akan dapat 5A" perlahan-lahan dia mengangkat muka. Cuba mengoyakkan senyuman. Hambar. Sedihnya tak dapat dibendung. Jelas kelihatan.

"Alhamdulillah. Rezeki aku. Tahniah pada kau juga! Janganlah sedih. Ada juga A jugak apa. Insyaallah satu hari nanti rezeki kau pula" 

"Insyaallah. Kalau suatu hari tu ada untuk aku" 

Tak sangka tiada lagi 'suatu hari untuk' Umar. Allah sayangkan Umar. Allah mahu Umar terlebih dahulu masuk syurga.

Sudah 2 minggu berlalu. Harini Syakir akan mulakan kehidupan baru di sebuah sekolah sains. Tiada tawa Umar. Hanya kenangan pahit manis yang boleh dikenang. 

Dia merebahkan badan menelentang atas rumput. Pandangannya meluas ke awan biru. Kaki disilang. Angin petang yang damai membawa 1001 kenangan. Bibirnya mengoyakkan senyuman. Bagai wajah Umar yang menjelma di dada langit. 

'Mak aku kata, kalau budak-budak meninggal , kita masuk syurga. Lagipun kau budak baik. Kau tunggu aku di syurga ya.'